SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI KD PERAK

Saturday 9 June 2012

PERBARISAN PEGAWAI KANAN ARMADA PTKK 2012


Perbarisan Pegawai Kanan Armada 2012 telah diadakan jeti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) pada 08 Jun 2012 bersamaan 18 Rejab 1433H.  Seawal jam 0700H warga Armada PTKK telah berkumpul di perkarangan Himpitan 7 dan Himpitan 8 berhadapan KD KEDAH serta berlatarkan bangunan Depot Logistik Wilayah 2 dan Markas Wilayah Laut 2.

Cuaca pada hari tersebut amat baik berkat pagi Jumaat yang mulia, penghulu segala hari.  Warga Armada kelihatan segak dan bergaya serta begitu bersemangat sekali untuk menjayakan perbarisan yang bersejarah ini kerana buat julung kalinya diadakan di PTKK.  Tanpa menunggu arahan, semua pegawai dan anggota beratur mengikut susunan platun yang telah ditetapkan.

Pegawai dan anggota Armada terlibat menyanyikan lagu Armada dan Samudera Raya dengan penuh bersemangat

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran pegawai-pegawai memerintah kapal dan juga pegawai serta anggota yang tidak terlibat perbarisan berkumpul dan beratur di kawasan perbarisan.  Antara yang hadir memberi sokongan pada pada hari perbarisan adalah Kdr Hasfa Edi Adra bin Kassim TLDM (PM KD KEDAH), Kdr Zahri bin Mohamed TLDM (PM KD TUNKU ABDUL RAHMAN) dan Lt Kdr Ahmadi Zamani bin Kamaruzzaman TLDM (KD JERONG).

Acara dimulakan dengan Pegawai Waren Perbarisan, PW I TLS Mohd Zailailani bin Mamat dan Bintara Platun mengambil tempat di hadapan platun masing-masing bagi melaporkan kekuatan kepada Pegawai Platun.  Ketua-ketua dan Bintara-bintara Platun terdiri daripada wakil-wakil kapal yang berada di jeti PTKK dengan Platun A merupakan Platun Pegawai yang diketuai oleh Lt Mohd Izhar bin Isnin TLDM dari KD KEDAH dibantu oleh PW II KOM (I) Ali bBin Seman dari KD PERAK manakala Platun B merupakan Platun Bintara yang diketuai oleh Lt Mohd Syafiq bin Shukri TLDM dari KD JERONG dibantu BM TMK Jamaludin bin Taib dari KTD Kepah.  Platun C dan Platun D pula merupakan Platun Laskar yang masing-masing diketuai oleh Lt Muhammad Helmi As Suhaimi bin Zakaraya TLDM dibantu oleh BK TMK Mohd Saharuddin bin Mohamed Ali dari KD PERAK dan Lt Mohd  Nor Firdaus bin Abd Razak TLDM dari KTD Kepah dibantu oleh BK TMK Aziz Maulana bin Bell dari KD Jerong.

Pada jam 0720H, keseluruhan platun telah bersedia dan mengambil tempat masing-masing untuk upacara pengibaran panji-panji.  Ketukan loceng sebanyak 8 kali bergema memecah keheningan pagi diikuti dengan bunyi tiupan Boxwain Call menandakan permulaan hari yang penuh bermakna ini.

Tepat jam 0740H, kereta ZL iaitu kenderaan rasmi Pegawai Memerintah KD PERAK merangkap Pegawai Kanan Armada tiba di perkarangan kawasan perbarisan.  Kepten Abdul Rahman bin Ayob TLDM begitu segak dan bergaya melangkah keluar dari kereta lalu berjalan ke arah astaka untuk mengambil tabik hormat daripada Pegawai Perbarisan, Lt Kdr Mohd Khairul Azmi bin Ahmad TLDM.
         
Seterusnya, nyanyian lagu Armada dan Samudera Raya berkumandang dan dinyanyikan oleh seluruh warga Armada yang hadir dengan penuh bersemangat.  Seterusnya, Pegawai Perbarisan melapor dan mengiringi Pegawai Kanan Armada untuk pemeriksaan platun.  Satu demi satu platun diperiksa dan setiap teguran diambil dan dicatatkan oleh Pegawai Waren Perbarisan untuk diambil tindakan oleh setiap warga yang terlibat.
Pegawai Kanan Armada sedang memeriksa platun pegawai


Pegawai Kanan Armada sedang memeriksa platun bintara

          Setelah selesai pemeriksaan, Pegawai Kanan Armada menyampaikan ucapan.  Seluruh warga armada terlibat mendengar dengan penuh kusyuk dan teliti setiap nasihat dan amanat yang disampaikan.  Setiap butir kata-kata dilontarkan beliau dengan begitu bersemangat dan kadang-kala menyentuh perasaan serta memberikan keinsafan kepada seluruh warga armada yang hadir.




Pegawai Kanan Armada sedang memberikan ucapan
         
          Sejurus selesai sahaja amanat dari Pegawai Kanan Armada, doa bagi memberkati majlis dibaca Koperal (Ust) Khairul Azlan dari KD SRI KOTA KINABALU dan seterusnya Pegawai Perbarisan memberi penghormatan kepada Pegawai Kanan Armada untuk platun perbarisan bersurai.




Sesi bergambar warga armada di PTKK
          Akhir sekali, sesi bergambar beramai-ramai dijalankan berlatar belakangkan KD KEDAH.  Setelah selesai bergambar, sedikit jamuan ringan bertempat di KD PERAK.  Majlis selesai dan bersurai pada jam 1000H.



Oleh : Lt Muhammad Danial Bin Mohamad Rahim TLDM (Pegawai Geladak KD PERAK)