SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI KD PERAK

SEJARAH

SEJARAH NAMA KAPAL

         Kapal Diraja PERAK secara simbolik telah mengimbau memori terhadap kegemilangan KD SRI PERAK yang merupakan batch pertama Kapal Ronda dari kelas SRI KEDAH yang dibina di Vosper Thornycraft Limited di Portsmouth, England pada tahun 1961. Penamaan KD PERAK adalah bagi mengenang jasa dan sumbangan yang telah ditaburkan oleh KD SRI PERAK yang telah tenggelam di sekitar Laut China Selatan berhampiran Kepulauan Natuna, Indonesia semasa dalam pelayaran dari Pangkalan TLDM Lumut ke Labuan pada 8 Januari 1984. KD SRI PERAK telah berkhidmat dengan TLDM selama 20 tahun 6 bulan 3 hari. Tragedi KD SRI PERAK tenggelam di Laut China Selatan merupakan tragedi yang pertama berlaku dalam TLDM. Kejadian tersebut menyebabkan tiga daripada dua puluh sembilan anak-anak kapal telah hilang dipercayai mati. Mereka ialah Lt Madya Mohd Fuad Bin Hj Isnin TLDM, Pegawai Kadet Kanan Mokhtar Bin Amir Nawi dan Laskar Kelas II Shaharuddin Bin Sharani. Ketika itu KD SRI PERAK di bawah pemerintahan Lt. M Chandran.

PEMBINAAN KD PERAK


          Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 September 1993 telah membuat keputusan untuk menjadikan Projek Patrol Vessel (PV) TLDM sebagai satu projek nasional. Pada 5 September 1998, Kerajaan Malaysia dan Syarikat Penang Shipyard Corporation Naval Dockyard (PSC – ND) telah menandatangani kontrak pembinaan enam  (6) buah kapal PV dengan kerjasama German Naval Group (GNG).

          Dua daripada enam kapal tersebut, iaitu KD KEDAH dan KD PAHANG telah dibina di Limbungan Blohm and Voss, Hamburg, Jerman dari segi struktur asas sebelum dihantar ke Malaysia untuk kerja-kerja susulan dan kini sudah beroperasi di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), Sabah. Manakala pembinaan empat buah lagi kapal dibina keseluruhannya di Malaysia.

          Pada asalnya, perolehan PV ini ialah untuk menggantikan Kapal Peronda TLDM sedia ada yang telah lama dalam perkhidmatan. Kesemua Kapal Peronda tersebut telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

FASA PEMBINAAN

          KD PERAK atau lebih dikenali dengan PV3 di peringkat awal pembinaannya mula dibina di PSC-ND, Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada November 2002. Setelah persetujuaan rekabentuk di antara tim Projek TLDM dengan pihak PSC-ND dicapai, persiapan peralatan dan bahan material yang diperlukan dimulakan.  Kerja-kerja Keel laying disempurnakan pada Jun 2003.

          PV3 telah dibina sepenuhnya oleh anak watan di tanah air dengan menggunakan peralatan canggih yang telah disediakan oleh limbungan PSC-ND. Ianya dibina menggunakan kaedah modul, yang mana struktur badan kapal dipecah ke beberapa bahagian kecil.  Modul-modul tersebut dibina secara berasingan. Setelah modul-modul siap dibina, ianya dicantum dan membentukkan struktur asas kapal yang lengkap.

          Sebelum proses pencantuman modul-modul dilakukan, peralatan besar seperti jentera utama dan janakuasa dimasukkan terus ke bahagian masing-masing. Cara kaedah pembinaan kapal tersebut telah diperolehi dari pihak pereka kapal syarikat GNG melalui kontrak pembinaan kapal PV antara pihak pereka dan Kerajaan Malaysia.

          Pembinaan PV3 telah mengalami kelewatan disebabkan masalah pengurusan pihak PSC-ND. Namun setelah syrikat Boustead Naval Ship Yard Sdn Bhd (BNSSB) mengambil alih syarikat tersebut pada 4 Ogos 2006, pembinaan kapal berjalan lancer sehingg selesai pada 29 Mei 2009.

PENAMAAN DAN PELANCARAN KAPAL

          Penamaan dan pelancaran KD PERAK dilaksanakan pada 12 November 2007 di perkarangan BNSSB, Lumut, Perak. Upacara tersebut telah disempurnakan oleh DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun binti Mohd Ali. Upacara ini dilaksanakan setelah kerja-kerja menyiapkan kapal, ujian – ujian terhadap peralatan serta latihan penyesuaian warga kapal selesai pada 25 Mei 2009. Seterusnya KD PERAK diserahkan kepada TLDM pada 29 Mei 2009. 

PENTAULIAHAN KD PERAK

          KD PERAK telah ditauliahkan pada 3 Jun 09 bersamaan dengan 9 Jamadilakhir 1430 Hijrah. Upacara tersebut disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz bin Hj Jaafar di Himpitan 8, jeti Pangkalan TLDM Lumut. Pelaksanaan upacara ini berjalan lancer dengan penuh istiadat TLDM dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari warga TLDM serta keluarga krew kapal. Turut hadir ke upacara pentauliahan tersebut ialah Pengarah Urusan Boustead Holding International Corporation, YBhg Tan Sri Dato’ Che’ Lodin bin Wok Kamaruddin, Pengarah Urusan BNSSB, Laksamana Madya (B) Dato’ Sri Ahmad Ramli bin Hj Mohd Nor, Pegawai-pegawai Kanan TLDM serta ahli keluarga krew KD PERAK. Upacara yang gilang gemilang ini mendapat liputan meluas dari pihak media tempatan dan di albumkan untuk tatapan generasi akan datang.