Perbarisan Pegawai
Kanan Armada 2012 telah diadakan jeti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) pada
08 Jun 2012 bersamaan 18 Rejab 1433H. Seawal
jam 0700H warga Armada PTKK telah berkumpul di perkarangan Himpitan 7 dan
Himpitan 8 berhadapan KD KEDAH serta berlatarkan bangunan Depot Logistik
Wilayah 2 dan Markas Wilayah Laut 2.
Cuaca pada hari
tersebut amat baik berkat pagi Jumaat yang mulia, penghulu segala hari. Warga Armada kelihatan segak dan bergaya
serta begitu bersemangat sekali untuk menjayakan perbarisan yang bersejarah ini
kerana buat julung kalinya diadakan di PTKK.
Tanpa menunggu arahan, semua pegawai dan anggota beratur mengikut
susunan platun yang telah ditetapkan.
Pegawai dan anggota Armada terlibat menyanyikan lagu Armada dan Samudera Raya dengan penuh bersemangat |
Majlis dimeriahkan
dengan kehadiran pegawai-pegawai memerintah kapal dan juga pegawai serta
anggota yang tidak terlibat perbarisan berkumpul dan beratur di kawasan
perbarisan. Antara yang hadir memberi
sokongan pada pada hari perbarisan adalah Kdr Hasfa Edi Adra bin Kassim TLDM
(PM KD KEDAH), Kdr Zahri bin Mohamed TLDM (PM KD TUNKU ABDUL RAHMAN) dan Lt Kdr
Ahmadi Zamani bin Kamaruzzaman TLDM (KD JERONG).
Acara dimulakan dengan
Pegawai Waren Perbarisan, PW I TLS Mohd Zailailani bin Mamat dan Bintara Platun
mengambil tempat di hadapan platun masing-masing bagi melaporkan kekuatan
kepada Pegawai Platun. Ketua-ketua dan
Bintara-bintara Platun terdiri daripada wakil-wakil kapal yang berada di jeti
PTKK dengan Platun A merupakan Platun Pegawai yang diketuai oleh Lt Mohd Izhar bin Isnin TLDM dari KD KEDAH dibantu oleh PW II KOM (I) Ali bBin Seman dari KD
PERAK manakala Platun B merupakan Platun Bintara yang diketuai oleh Lt Mohd
Syafiq bin Shukri TLDM dari KD JERONG dibantu BM TMK Jamaludin bin Taib dari
KTD Kepah. Platun C dan Platun D pula
merupakan Platun Laskar yang masing-masing diketuai oleh Lt Muhammad Helmi As Suhaimi
bin Zakaraya TLDM dibantu oleh BK TMK Mohd Saharuddin bin Mohamed Ali dari KD
PERAK dan Lt Mohd Nor Firdaus bin Abd
Razak TLDM dari KTD Kepah dibantu oleh BK TMK Aziz Maulana bin Bell dari KD
Jerong.
Pada jam 0720H,
keseluruhan platun telah bersedia dan mengambil tempat masing-masing untuk
upacara pengibaran panji-panji. Ketukan
loceng sebanyak 8 kali bergema memecah keheningan pagi diikuti dengan bunyi
tiupan Boxwain Call menandakan
permulaan hari yang penuh bermakna ini.
Tepat jam 0740H, kereta
ZL iaitu kenderaan rasmi Pegawai Memerintah KD PERAK merangkap Pegawai
Kanan Armada tiba di perkarangan kawasan perbarisan. Kepten Abdul Rahman bin Ayob TLDM begitu
segak dan bergaya melangkah keluar dari kereta lalu berjalan ke arah astaka
untuk mengambil tabik hormat daripada Pegawai Perbarisan, Lt Kdr Mohd Khairul
Azmi bin Ahmad TLDM.
Seterusnya, nyanyian
lagu Armada dan Samudera Raya berkumandang dan dinyanyikan oleh seluruh warga
Armada yang hadir dengan penuh bersemangat.
Seterusnya, Pegawai Perbarisan melapor dan mengiringi Pegawai Kanan
Armada untuk pemeriksaan platun. Satu
demi satu platun diperiksa dan setiap teguran diambil dan dicatatkan oleh
Pegawai Waren Perbarisan untuk diambil tindakan oleh setiap warga yang
terlibat.
Pegawai Kanan Armada
sedang memeriksa platun pegawai
Pegawai Kanan Armada sedang memeriksa platun bintara |
Setelah
selesai pemeriksaan, Pegawai Kanan Armada menyampaikan ucapan. Seluruh warga armada terlibat mendengar
dengan penuh kusyuk dan teliti setiap nasihat dan amanat yang disampaikan. Setiap butir kata-kata dilontarkan beliau
dengan begitu bersemangat dan kadang-kala menyentuh perasaan serta memberikan
keinsafan kepada seluruh warga armada yang hadir.
Pegawai Kanan
Armada sedang memberikan ucapan
Sejurus
selesai sahaja amanat dari Pegawai Kanan Armada, doa bagi memberkati majlis
dibaca Koperal (Ust) Khairul Azlan dari KD SRI KOTA KINABALU dan seterusnya
Pegawai Perbarisan memberi penghormatan kepada Pegawai Kanan Armada untuk
platun perbarisan bersurai.
Sesi bergambar warga armada di PTKK |
Akhir
sekali, sesi bergambar beramai-ramai dijalankan berlatar belakangkan KD
KEDAH. Setelah selesai bergambar,
sedikit jamuan ringan bertempat di KD PERAK.
Majlis selesai dan bersurai pada jam 1000H.