SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI KD PERAK

Saturday 9 June 2012

PERBARISAN PEGAWAI KANAN ARMADA PTKK 2012


Perbarisan Pegawai Kanan Armada 2012 telah diadakan jeti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) pada 08 Jun 2012 bersamaan 18 Rejab 1433H.  Seawal jam 0700H warga Armada PTKK telah berkumpul di perkarangan Himpitan 7 dan Himpitan 8 berhadapan KD KEDAH serta berlatarkan bangunan Depot Logistik Wilayah 2 dan Markas Wilayah Laut 2.

Cuaca pada hari tersebut amat baik berkat pagi Jumaat yang mulia, penghulu segala hari.  Warga Armada kelihatan segak dan bergaya serta begitu bersemangat sekali untuk menjayakan perbarisan yang bersejarah ini kerana buat julung kalinya diadakan di PTKK.  Tanpa menunggu arahan, semua pegawai dan anggota beratur mengikut susunan platun yang telah ditetapkan.

Pegawai dan anggota Armada terlibat menyanyikan lagu Armada dan Samudera Raya dengan penuh bersemangat

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran pegawai-pegawai memerintah kapal dan juga pegawai serta anggota yang tidak terlibat perbarisan berkumpul dan beratur di kawasan perbarisan.  Antara yang hadir memberi sokongan pada pada hari perbarisan adalah Kdr Hasfa Edi Adra bin Kassim TLDM (PM KD KEDAH), Kdr Zahri bin Mohamed TLDM (PM KD TUNKU ABDUL RAHMAN) dan Lt Kdr Ahmadi Zamani bin Kamaruzzaman TLDM (KD JERONG).

Acara dimulakan dengan Pegawai Waren Perbarisan, PW I TLS Mohd Zailailani bin Mamat dan Bintara Platun mengambil tempat di hadapan platun masing-masing bagi melaporkan kekuatan kepada Pegawai Platun.  Ketua-ketua dan Bintara-bintara Platun terdiri daripada wakil-wakil kapal yang berada di jeti PTKK dengan Platun A merupakan Platun Pegawai yang diketuai oleh Lt Mohd Izhar bin Isnin TLDM dari KD KEDAH dibantu oleh PW II KOM (I) Ali bBin Seman dari KD PERAK manakala Platun B merupakan Platun Bintara yang diketuai oleh Lt Mohd Syafiq bin Shukri TLDM dari KD JERONG dibantu BM TMK Jamaludin bin Taib dari KTD Kepah.  Platun C dan Platun D pula merupakan Platun Laskar yang masing-masing diketuai oleh Lt Muhammad Helmi As Suhaimi bin Zakaraya TLDM dibantu oleh BK TMK Mohd Saharuddin bin Mohamed Ali dari KD PERAK dan Lt Mohd  Nor Firdaus bin Abd Razak TLDM dari KTD Kepah dibantu oleh BK TMK Aziz Maulana bin Bell dari KD Jerong.

Pada jam 0720H, keseluruhan platun telah bersedia dan mengambil tempat masing-masing untuk upacara pengibaran panji-panji.  Ketukan loceng sebanyak 8 kali bergema memecah keheningan pagi diikuti dengan bunyi tiupan Boxwain Call menandakan permulaan hari yang penuh bermakna ini.

Tepat jam 0740H, kereta ZL iaitu kenderaan rasmi Pegawai Memerintah KD PERAK merangkap Pegawai Kanan Armada tiba di perkarangan kawasan perbarisan.  Kepten Abdul Rahman bin Ayob TLDM begitu segak dan bergaya melangkah keluar dari kereta lalu berjalan ke arah astaka untuk mengambil tabik hormat daripada Pegawai Perbarisan, Lt Kdr Mohd Khairul Azmi bin Ahmad TLDM.
         
Seterusnya, nyanyian lagu Armada dan Samudera Raya berkumandang dan dinyanyikan oleh seluruh warga Armada yang hadir dengan penuh bersemangat.  Seterusnya, Pegawai Perbarisan melapor dan mengiringi Pegawai Kanan Armada untuk pemeriksaan platun.  Satu demi satu platun diperiksa dan setiap teguran diambil dan dicatatkan oleh Pegawai Waren Perbarisan untuk diambil tindakan oleh setiap warga yang terlibat.
Pegawai Kanan Armada sedang memeriksa platun pegawai


Pegawai Kanan Armada sedang memeriksa platun bintara

          Setelah selesai pemeriksaan, Pegawai Kanan Armada menyampaikan ucapan.  Seluruh warga armada terlibat mendengar dengan penuh kusyuk dan teliti setiap nasihat dan amanat yang disampaikan.  Setiap butir kata-kata dilontarkan beliau dengan begitu bersemangat dan kadang-kala menyentuh perasaan serta memberikan keinsafan kepada seluruh warga armada yang hadir.




Pegawai Kanan Armada sedang memberikan ucapan
         
          Sejurus selesai sahaja amanat dari Pegawai Kanan Armada, doa bagi memberkati majlis dibaca Koperal (Ust) Khairul Azlan dari KD SRI KOTA KINABALU dan seterusnya Pegawai Perbarisan memberi penghormatan kepada Pegawai Kanan Armada untuk platun perbarisan bersurai.




Sesi bergambar warga armada di PTKK
          Akhir sekali, sesi bergambar beramai-ramai dijalankan berlatar belakangkan KD KEDAH.  Setelah selesai bergambar, sedikit jamuan ringan bertempat di KD PERAK.  Majlis selesai dan bersurai pada jam 1000H.



Oleh : Lt Muhammad Danial Bin Mohamad Rahim TLDM (Pegawai Geladak KD PERAK)

Monday 4 June 2012

SELAMAT HARI JADI… KD PERAK!

Kek HUT KD PERAK ke-3
Tanggal 3 Jun 2012 bersamaan 13 Rejab 1433H  genaplah 3 tahun usia KD PERAK.  Kapal ini telah dilancarkan pada tahun 2007 dan ditauliahkan ke inventori Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 3 Jun 2009 bersamaan 9 Jamadilakhir 1430H  di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Majlis yang disambut ringkas dan sederhana dimulakan dengan bacaan Surah Yassin dan Tahlil serta diiringi oleh Doa Selamat yang dipimpin oleh Mej (Ust) Razailan dari KD SRI KOTA KINABALU (KDSKK) bagi memanjatkan kesyukuran dan memohon perlindungan dari Allah SWT agar memberkati seluruh warga KD PERAK walau di mana pun kami berada.
Taklimat ringkas oleh Mej Razailan sebelum memulakan bacaan Yassin
          
         Setelah selesai bacaan doa selamat, semua hadirin mengerjakan solat zohor berjemaah seterusnya acara memotong kek sempena HUT KD PERAK ke-3 yang disempurnakan oleh Pegawai Memerintah dan PMC Mess Pegawai, Bintara dan Laskar.  Majlis selesai pada 1315H.

Acara memotong kek HUT KD PERAK ke-3

Sunday 27 May 2012

KUGIRAN KD PERAK

Bagi warga Tentera Laut DiRaja Malaysia(TLDM), pelayaran tugas operasi adalah perkara yang mesti dilaksanakan dan memerlukan tumpuan yang penuh pada setiap masa, ini adalah bagi menjamin keselamatan Negara yang tercinta dari sebarang ancaman luar. Namun begitu, dalam kesibukan menjalankan tugas mengawal perairan Negara, ikatan persaudaraan antara anak kapal tidak pernah diabaikan. Pelbagai jenis hiburan dan aktiviti riadah dilaksanakan bagi memastikan moral warga kapal sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah program yang berbentuk hiburan. Bagi kapal KD Perak 173, antara aktiviti yang paling diminati warga kapal adalah jamming. Dengan kelengkapan yang sedia ada di atas kapal dan juga sokongan Pegawai Memerintah(PM) yang juga peminat fanatik seni muzik sejak beliau muda lagi, aktiviti ini mendapat sambutan yang hangat dari semua warga kapal. Walaupun kelengkapan yang sedia ada tidak berada dalam keadaan yang baik, namun ia tidak mematahkan semangat penggiat muzik KD PERAK dalam menjalankan aktiviti mereka. PM sendiri turun padang bagi turut sama bermain menggunakan gitar beliau sendiri bersama warga kapal. 

Band KD PERAK tengah rancak menjalakan latihan di Bilik ACTAS

Diperamati kebanyakan warga kapal sebenarnya memiliki kebolehan yang unik dalam bermain alat muzik.  PM sendiri adalah seorang pemain gitar yang hebat ditambah pula keunikan suara vokal dari Lt Rafhanah TLDM, Penolong Pegawai Jurutera Elektrik dan Senjata (AWEO) dan LK 1 PWP Haris yang persis gaya mengalahkan artis menambahkan lagi kemeriahan di bilik jamming.  Antara lagu-lagu yang dimainkan seperti Kehilangan, Jujur dan pelbagai lagi lagu yang pernah menjadi hits suatu masa dulu. Bagi pemain bass Lt Dya Hasbullah TLDM, Pegawai Rekod (CORRO) pengalaman bermain bersama PM adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sehingga beliau tidak dapat untuk memetik tali bass kerana leka melihat kelincahan PM bermain gitar jenama Taylor beliau. Lain pula bagi pemain drum, BM TMK Hairul (Black), yang sememangnya terserlah dengan gaya seperti seorang pemain drum professional. 

Pegawai Memerintah dengan kehebatan beliau memetik gitar

Pengalaman akan mematangkan lagi kumpulan band ini pada masa akan datang. Pertandingan Battle of The Band akan dirancang pada pelayaran akan datang bagi mencungkil bakat lebih ramai warga kapal dalam seni muzik. Diharap aktiviti ini akan mendapat sambutan yang lebih hangat dari warga kapal pada masa akan datang.